Terima Kasih

Keep it Clean and Keep it Neutral

Belum hilang penat dan seronok menjayakan program Pelancaran Jubli Perak ANSARA. Belum sempat untuk saya mengarang nukilan terima kasih saya kepada semua yang terlibat menjayakan program tersebut, tanpa diundang dan sama sekali tidak disangka, saya dan seluruh kepimpinan ANSARA pusat telah dituduh berpolitik dan mendapat dana dari pihak tertentu.

ANSARA terpanggil untuk memperbetulkan persepsi yang salah dari segelentir pihak kerana kita sedar, dalam memperjuangkan agenda ANSARA ini, kita memerlukan sokongan dari banyak pihak, terutamanya ahli-ahli ANSARA, MARA dan rakyat Bumiputera secara keseluruhannya.

ANSARA adalah sebuah organisasi tersusun yang neutral dari segi politik. Kita tidak mendokong perjuangan politik mana-mana entiti politik sekali pun. Sebagai sebuah organisasi yang dianggotai oleh kurang lebih 220,000 lepasan MRSM, kita tidak campur tangan di dalam fahaman politik ahli-ahli kita. Pada masa yang sama, ANSARA tidak melarang ahli berpolitik tetapi bukanlah menggunakan ANSARA sebagai pentas agenda politik mereka. Malah kita ada ramai ahli politik yang berjaya seperti Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Datuk Seri Razali Ibrahim

Demikian juga perihalnya di peringkat tertinggi ANSARA. Ahli-ahli Jawatan Kuasa dan Ketua-ketua Biro tidak pernah memperjuangkan agenda politik. Kami tidak menerima apa-apa imbuhan dari mana-mana pihak, meskipun pihak ANSARA sendiri, untuk menjalankan tugas-tugas kami. Malah ramai antara kami menggunakan banyak sumber peribadi seperti kemahiran, wang dan masa untuk bersama-sama berjuang membangunkan ANSARA.

Perjuangan utama ANSARA adalah untuk ahli-ahli ANSARA, keluarga mereka dan MRSM. Kita mahu bersama-sama maju ke hadapan dan menikmati kejayaan dan kekayaan negara yang milik semua. Jika kita mempunyai daya dan sumber yang lebih, maka kita juga akan sedaya-upaya memperjuangkan agenda Bumiputera secara am nya demi matlamat yang sama: untuk menambahkan akses dan peluang anak bangsa untuk bersama-sama mengecapi kesenangan di bumi sendiri.

Dana ANSARA adalah 100% datangnya dari ahli-ahli dan pendapatan dari aktiviti-aktiviti yang dijalankan, tanpa mengharapkan apa-apa dari mana-mana organisasi di luar ANSARA. Dalam usaha kami untuk menarik kesemua kurang lebih 220,000 lepasan MRSM menyertai ANSARA, berganding tangan di bawah payung ANSARA, kami memerlukan sokongan dari pelbagai pihak am nya. Berita-berita palsu dan berat sebelah jelasnya akan menghalang usaha-usaha murni kami ini.

ANSARA merasa amat bangga mempunyai Ahli Jawatan Kuasa yang terdiri dari golongan professional Bumiputera yang bekerja keras demi memperjuangkan agenda ahli-ahli ANSARA tanpa mengharapkan apa-apa balasan dari mana-mana pihak. Doakan perjuangan ANSARA. Doakan semoga anak-anak bangsa akan berjaya dalam konteks yang sebenar-benarnya. Marilah bersama-sama berjuang agar bangsa kita menjadi tuan di bumi bertuah ini.

Saya tidak akan membenarkan tuduhan tersebut merompak kejayaan ANSARA melancarkan program Sambutan Pelancaran Jubli Perak ANSARA. Pada hemat saya, program semalam adalah berilmiah, bermatlamat dan membuktikan kejayaan kerjasama banyak pihak. Tidak kurang pentingnya juga, rata-rata peserta yang hadir melahirkan rasa puas hati dengan program yang disusun.

Saya, sebagai Presiden ANSARA, hanyalah membantu program tersebut. Memberi pandangan disana dan disini. Menegur sedikit sebanyak. Memberi kelulusan selepas berbincang di mesyuarat exco dan membantu mendapatkan dana. Pihak yang sebenar-benarnya berpenat-lelah menjayakan program tersebut adalah mereka yang berkerja di belakang tabir tanpa meminta untuk diperkenalkan. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak terutamanya:

  • Team AnsaraMUDA yang diketuai oleh Saudara LOKO. Mereka adalah tulang belakang program ini.
  • Eyra yang merupakan Jantung pada program ini. Enough said
  • Setiausaha Agung, Kak Ja yang tidak pernah penat merancang dan menguruskan pelbagai urusan dengan MARA, MRSM dan sebagainya
  • Hajar yang mengunakan kepakaran beliau sebagai guru sepenuhnya dan mengarah program dengan baik sekali
  • Ketua ketua biro yang banyak membantu terutamanya Biro Kewangan (Dato’ Naza) yang mengumpul dana. Dan juga Bro Bakar dari Biro Komunikasi dan Media kerana banyak membantu urusan-urusan tersebut.
  • Timbalan saya, Dato’ Nasri, yang banyak membantu ketika saya berada diluar kawasan dan tunjuk ajar dia sebagai ‘otai’
  • Tidak lupa juga semua ahli ahli biro yang berpelbagai.
  • Semua ketua-ketua cawangan dan ketua-ketua kelab yang memberi sokongan penuh
  • Secretariat ANSARA – Bro Zain dan Nani yang banyak membantu urusan dengan MARA.
  • MARA yang banyak membantu kita mendapatkan lokasi pelancaran, jemputan, semangat dan memberi tunjuk ajar
  • Team MRSM Trolak – Pengetua, Timbalan-timbalan Pengetua, Cikgu-cikgu serta pelajar-pelajar.
  • Kesemua pengetua-pengetua dan guru-guru yang hadir
  • Sponsor-sponsor termasuklah Uzma Berhad, Setegap Venture Petroleum, RA8, Loko Production, GreenTulips, Limpahan Eramas, Cetco, Ansara Langkawi, Ansara E-Sport dan ramai lagi.


Terima kasih. Lets keep it clean and keep it neutral.
1unitedANSARA.

Dato’ Kamarul Redzuan Muhamed
Presiden ANSARA Malaysia

- 1 JAN 2018 -