Azam ANSARA Tahun 2020

Posted By Basyeer Fauzi, January 01 2020

Saya menghabiskan akhir tahun ini di utara negara Gajah Putih, yang tak pernah dijajah namun berbintik sejarah. Ia memberi ruang dan peluang untuk saya melihat ke arah Negaraku Malaysia, dari kejauhan, anggaran sejengkal jari, di atas peta dunia, membangkit rasa yang bercampur baur. Ibarat nakhoda yang mengemudi bahtera yang dilambung ombak samudera raya, hati saya turut bergelora diamuk resah atas amanah.

Khalayak keluarga besar ANSARA maklum bahawa penggal kedua amanah kepemimpinan berjeda dua tahun mendatang ini adalah penggal akhir saya masih mampu menyongsong angin, menongkah arus dan memecah aral demi demi masadepan ahli dan legasi alumni MRSM seMalaysia. Mandat dan muafakat yang diperbaharui tiga purnama lampau menguatkan semangat saya untuk juga memperhalusi doa dan meneliti pengharapan cawangan-cawanagn ANSARA yang bergabung di bawah panji-panji ANSARA. Pemukiman di Anani Villa, Janda Baik yang baru lalu memberi nafas bagi kelangsungan penanda aras baru yang ditempa sewaktu pemukiman Ceringin di awal penggal pertama dahulu. Amokan nyamuk tiruk yang menyebabkan beberapa perwakilan terdampar di hospital akibat Malaria, membakar kuat semangat pimpinan ANSARA untuk terus meningkatkan lagi prestasi alumni keramat ini.
'Battlecry #1unitedANSARA' telah pun sebati di hati dan termaktub manifestasinya kini menjadi realiti yang diraikan semua khalayak, khasnya dipuncak perayaan #ANSARA25Tahun sewaktu majlis Makan Malam Perdana yang diserikan dengan kehadhiran YABhg Perdana Menteri bersama YABhg Penaung ANSARA. Saya merakam penghargaan kepada barisan kepemimpinan ANSARA, dulu dan kini, yang telah menabur budi menyemai bakti, masing-masing dengan keperibadian unggul dan caragaya tersendiri, sehingga ANSARA gah di persada negara bertatah permata kudus jiwa 'izzah anak kelahiran ibunda MARA yang kenal diri, yaqin aqli dan tegas menebus maruah amanah rakyat.

Namun, itu ceritera hikayat semalam. Fajar baru esok membenihkan hidup bersendi hukum dan hayat pembayang haqiqat. Saya berseru dari celahan awan biru di langit ini agar ada rezeki bersama kalian bangkit lena malam nanti dengan azam iktiqad baru membawa panji-panji ANSARA ke aras yang jauh lebih tinggi. Aras baru kita adalah kelestarian kendiri. Lokus baru kita adalah aqal intelektual, hatibudi dan ruh anak bangsa Melayu dan Bumiputera negara. Fokus baru kita adalah menyahut cabaran negara menjadi pemimpin-pemimpin angkatan muda generasi pasca-Wawasan 2020 serta berteraskan TN50.

Kita wajib mengambil taklif mas'uliyah ini, mengukuhkan ukhuwwah begini, membenteng organisasi alumni dan daulah dari asakan fitnah dan mehnah yang datang menyerang. Bukan hanya sekadar beralah melatah dan berala kadar dengan takdir tanpa menguat niat meneruskan kudrat bermuafakat. Legasi alumni kita terkandung dalam hak rakyat bernegara. Pendidikan menerusi institusi MRSM seMalaysia yang terbilang adalah jaminan peluang untuk anakcucu kita yang amat memerlukan sokongan kepercayaan setiap mereka baka istimewa, demi masadepan dan kehidupan keluarga Melayu dan Bumiputera khasnya di luar dan pinggir bandar, di seluruh pelosok dan ceruk jajahan wilayah.

Selagi kita ANSARA, MRSM seMalaysia dan MARA terus wujud, sumpah keramat kita sama. Hak bangsa Melayu dan Bumiputera ini usah diganggu gugat selagi langit menaungi, lautan membatasi dan hutan menafasi tanahair tercinta kita! Pendidikan adalah teras kita dan visi kita jelas: Pendokong amanah sebagai kesinambungan kepada matlamat MRSM untuk memartabatkan agama dan mendaulatkan bangsa dan negara.

Saya berdoa kita semua sehati bersama. Berusaha merapatkan hubungan dan mengeratkan persaudaraan. Tuntutan agama Islam usah dilupa, risalah Rasulullah usah dipinda dan segala-segala ini lillahi ta'ala. Pada Allah kita berserah dan memohon taufiq hidayah agar apa pun yang kita buat dan beri khidmat melalui platform ANSARA akan diterima sebagai amal jariah dan sadaqah bil hal wal mal.

Sebagai pemimpin, setiap kita akan ditanya. Akauntabiliti dan integriti nilai teras kepemimpinan kita semua, di peringkat Pusat mahupun Cawangan. Mari lah kita perbaharui niat dan tekad, diri peribadi dan kolektif berorganisasi ini, untuk menyuburkan semangat muafakat dan menyantuni platform ANSARA dengan pelbagai usaha, perhimpunan dan bingkisan ilmu dan amal bakti yang kita ada dan mampu sumbangkan seadanya.

Kesempatan ini saya ingin menzahirkan tahniah kepada Puan Wan Ainizah Wan Ariffin, ANSARA Seremban, yang baru dilantik sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA. Juga, tidak terlewat, tahniah kepada Dato’ Sayed Alfeisal, ANSARA Kota Bharu, YDP MUAFAKAT yang baru. Perlantikan mereka melengkapkan tradisi keilmuan dan budaya kepimpinan MRSM yang tersendiri. Saya yaqin kepimpinan ANSARA dan MUAFAKAT akan saling melengkapi serta membantu BPM memperkasakan pendidikan anak cucu kita di MRSM.

Kembara saya berakhir malam ini, kembali ke ibukota setelah keluar negeri mencari rezeki dan kunhi diri. Inilah bingkisan yang saya tintakan sekian ilham yang singgah sepanjang merenung nasib bangsa bernegara dan di mana kita bersama-sama dalam bahtera Ansara boleh melakar sejarah baru dalam horizon masa yang bersisa. Semoga hari baru diterangi mentari lama esok diberkati Allah dan direzekikan kita akan ilmu-Nya seikhlas mampu kita bertakafur, bertadabbur dan berikrar meneroka alam yang terbentang peluang ini.

Bulan mengambang terang cuaca,
Pergi ke darat memetik bunga,
Jikalau sudah tuan membaca,
Pulangkan surat pada yang punya

Keduduk dalam kuali
Uratnya dari Melaka
Duduk kita dalam negeri
Elok membilang adat pusaka

SELAMAT TAHUN BARU

DKRM
Presiden ANSARA
Pai, Thailand: 31 Dis 2019