Karnival Sukan ANSARA 2019

Posted By SYSTEM ADMIN, November 26 2018

BAHANG KSA KEMBALI DIRASAI
KSA, atau nama baru yang dikomersilkan sebagai Karnival Sukan ANSARA merupakan satu temasya sukan yang pastinya dinanti-nantikan oleh semua peminat dan penggiat sukan di kalangan ahli ANSARA.

Lebih menarik lagi apabila KSA19 bukan sahaja bakal dilangsungkan pada tahun 2019, malah juga merupakan kali ke-19 temasya ini dilangsungkan sejak tahun 2000. 

KSA19 dikendalikan oleh Biro Sukansara ANSARA Malaysia yang diketuai oleh Ketua Biro, Saudara Kamarul Bahrin Hamzah, dengan bantuan ahli jawatankuasanya yang terdiri dari gabungan lebih 10 Cawangan. Gabungan ini jelas seiring dengan slogan KSA19, "Driven by Sports, United by ANSARA" yang menyemarakkan semangat penyatuan di kalangan semua ahli di bawah satu kebersamaan.

Memberi suntikan kelainan daripada tahun-tahun yang lepas, KSA19 bakal berlangsung selama 3 hujung minggu sepanjang bulan Februari 2019 dan akan melibatkan 24 jenis sukan. Ia dijangkakan bakal menerima lebih 7,000 penyertaan daripada 45 buah kontinjen ANSARA Cawangan.

KSA19 akan diadakan di beberapa lokasi berlainan sepanjang Jadual perlawanan sambil memberi peluang untuk peserta menyertai lebih daripada satu jenis sukan. Pecahan lokasi dan sukan ini juga diharap dapat menambah kemeriahan sorakan penyokong dan merapatkan perpaduan di kalangan ahli kontinjen semua ANSARA.


FEBRUARI UNTUK 24 SUKAN ANSARA
KSA19 bakal bermula pada 9 & 10 Februari di Kompleks Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang untuk sukan hoki, ping pong, skuash dan rugbi. Serentak dengan itu juga pada minggu yang sama, sukan futsal dan badminton bakal dilangsungkan di Uptown Sports Bangi. 

Diikuti pada 16 & 17 Februari di Padang Besar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi untuk 2 jenis sukan terbesar, bola sepak dan pusingan kedua ragbi, serta bola tampar lelaki dan tenis manakala sukan bola tampar wanita, bola keranjang, bola jaring dan sepak takraw pula bakal diadakan di Universiti Tenaga Nasional Malaysia (UNITEN), Kajang pada minggu yang sama. 

Majlis Sidang Akhbar KSA19 dijadualkan lebih awal pada 27 Januari 2019 di Kelab Golf SAAS, Shah Alam dan akan diadakan bersama dengan acara sukan golf. 

KSA19 akan diakhiri dengan acara larian dan permainan tradisional. Acara penutup ini juga bakal dimeriahkan lagi dengan karnival pembukaan gerai-gerai jualan yang dijangka akan disertai oleh lebih 2,000 orang ahli ANSARA dan keluarga. 


PENYERTAAN TERBUKA UNTUK SEMUA
Pendaftaran penyertaan KSA19 akan dibuka secara atas talian melalui webportal rasmi www.myansara.org bermula pertengahan Disember 2018 dan akses pendaftaran hanya akan dibuat oleh Ketua Kontinjen setiap ANSARA Cawangan, atau lebih dikenali sebagai Chef de Mission (CDM). 

Semua peserta KSA19 dimestikan menjadi ahli berdaftar ANSARA Malaysia dan perlu mempunyai akaun aktif di web portal bagi membolehkan CDM memasukkan nama dan ID mereka sebagai peserta kontinjen untuk mana-mana acara sukan. Yuran keahlian seumur hidup sebagai ahli berdaftar ANSARA Malaysia hanyalah RM50 seorang. Manakala yuran penyertaan setiap acara sukan KSA19 akan dicaj berbeza dan bayaran secara atas talian akan dibuat oleh CDM.