Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah

Posted By Basyeer Fauzi, October 20 2019

YBhg. Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hj. Hashim,

Saya dan sahabat-sahabat alumni MRSM se Malaysia (ANSARA) amat terkesan darihal tindakan biadap pihak- pihak yang mempersoalkan autoriti YBhg Datuk Ir. (Dr.) secara terbuka dan sokongan tersembunyi puak-puak berkepentingan peribadi. Ini amat merisaukan saya kerana ia bagai melambangkan maksud dan niat jahat mereka ini.

1. Pada hemah saya, negara Malaysia tercinta ini lahir dalam asas kebudayaan hidup bangsa Melayu yang halus dan berbudi bahasa tinggi. Setiap kita diasuh dari kecil dan dewasa dengan akar agama Islam dan leluhur budaya masyarakat yang memandu aqalbudi jua membenteng norma tingkahlaku angkuh dan sombong.

2. Universiti adalah realiti kemuncak pendidikan peringkat tinggi ini, kerana di dalam alma mater -rahim ibu kandung - inilah insan-insan terpelajar dan benih aqalbudi masyarakat disaring, dipilih dan digilap dengan ilmu pengetahuan secara bersistem. Dan finale proses ta'dib - mengadabkan insan dengan ilmu tinggi - ini adalah majlis graduasi siswazah sebagai tanda ijazah guru pada muridnya akan kesempurnaan isi ilmu yang cuba dipelajari sebelum saat itu.

3. Justeru itu, tindakan siswazah yang tampil ke pentas untuk menerima ijazah sedemikian suci serentak pula menuntut guru nya membuang autoriti ilmu dan kepemimpinan institusi tempat ia selama ini mengutip intipati ilmu itu adalah satu hakikat kehilangan adab! Bagi kami yang berjaya atas baraqah ilmu dan makbul doa guru-guru sejak di MRSM dan universiti-universiti sekian masa dulu, tindakan yang wajib diambil adalah menegur kecelaruan ini secara bersemuka dengan disiplin dunia akademik.

"There is a time and a place for everything. Never be on your knee and propose during someone's funeral. Neither should anyone be brandishing expensive jewellery in a ghetto."

ANSARA, yang menaungi hampir 200 ribu para ilmuan, profesional dan teknokrat menyokong YBhg Datuk Ir. (Dr.) dan memperakui kepemimpinan Universiti Malaya. Sesungguhnya, YBhg Datuk Ir. (Dr.) berada di atas asas ilmu yang benar. Kami bersedia berdiri sama tinggi duduk sama rendah dalam memperjuangkan asas-asas adab dan budaya ilmu tinggi yang menjadi DNA Universiti Malaya sejak berzaman.

Dato' Kamarul Redzuan Muhamed Presiden
ANSARA Malaysia
KL: 16 Oktober 2019