SIFAT MURNI MENDEPANI SITUASI SEMASA

Posted By Basyeer Fauzi, April 22 2020

SIFAT MURNI MENDEPANI SITUASI SEMASA

Kita sedia maklum, Covid-19 mengancam kestabilan negara bahkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan telah diarahkan sehingga 14 April ini. Kesannya, kita dapat lihat barisan hadapan iaitu para petugas perubatan, anggota keselamatan sama ada polis, tentera dan juga bomba bertungkus lumus memastikan pandemik ini berjaya dikawal sepenuhnya.

Mereka adalah hero kita! Namun sejauh mana kita menghargai usaha mereka? Apatah lagi dengan peralatan serba kekurangan seperti topeng muka dan sebagainya. Apakah tindakan kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab? Jika kita renung kembali, penghargaan ini mampu kita tuai atau akan terhasil sendiri tanpa paksaan melalui sistem pembelajaran yang diterapkan kepada kita.


MARA PROAKTIF

Melalui sistem pendidikannya, MARA menitikberat nilai, sahsiah serta akhlak dan barulah diikuti dengan pengetahuan dan kemahiran mendahului kecemerlangan pelajar melalui jumlah A atau CGPA.
Kita dapat lihat bagaimana warga Institusi Pendidikan MARA (IPMA) sama ada para tenaga pengajar mahu pun para pelajar bertindak balas dengan situasi semasa Covid-19 dengan bantuan kepada para barisan hadapan tanpa dipaksa.

Terlalu banyak jika diterjemahkan dalam penulisan tentang bantuan yang dilaksanakan sebenarnya. Antaranya bagaimana kreativiti seorang guru Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mencipta serta menghasilkan pelindung muka untuk kegunaan anggota kesihatan barisan hadapan.

Perkara yang sama turut dilaksanakan di beberapa Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) bahkan ratusan unit face shield telah dihasil dan dihantar untuk kegunaan pihak berkaitan.

Begitu juga dengan GIATMARA yang dipandang sebelah mata sesetengah pihak. Tahukah anda, ada pelatih GIATMARA membantu menyediakan pakaian Personal Protection Equipment (PPE) hospital-hospital di Johor dengan menggunakan kemahiran menjahit yang dipelajari di pusat ini?

Bahkan, ramai usahawan yang masih bertaraf inkubator GIATMARA turut menggunakan kemahiran yang dipelajari untuk menghasilkan pakaian yang sama untuk petugas barisan hadapan hospital.

Apa yang ingin dinyatakan adalah keupayaan anak didik MARA ini melaksanakan nilai-nilai murni ini tanpa disuruh. Isu hari ini sememangya berkait rapat dengan etika, dan dalam perkara ini sistem pendidikan MARA sememangnya berjaya jika kita lihat situasi semasa yang melanda.

Paling menarik sekali usahawan MARA di bawah program khas MARA in Fashion (MiF) pun turut serta menyumbangkan tenaga dan bakat mereka dalam menghasilkan baju PPE, head cover, sarung tangan dan kaki serta baju scrub medikal doktor buat KKM.

Ternyata usahawan yang berkemahiran tinggi dalam penghasilan baju fesyen bersatu hati serta mengembleng tenaga mereka baju PPE untuk barisan hadapan kerana perasaan prihatin dan memanfaatkan bakat sedia ada di saat genting ini. MARA memang serba boleh!


DANA DARI ANSARA MALAYSIA

Sejak dari tahun 1976 MARA juga melahirkan ribuan bekas pelajar-pelajar MCE/SPM yang ditempatkan di Maktab Rendah Sains MARA diseluruh negara. Bekas pelajar-pelajar MRSM ini bersatu hati membentuk Persatuan Bekas Pelajar MRSM Se-Malaysia atau lebih dikenali sebagai ANSARA Malaysia.

ANSARA Malaysia melancarkan Tabung ANSARA4Malaysia (A4M) dengan kerjasama Malaysia Relief Association (MRA), satu badan NGO yang mendapat kelulusan kerajaan Malaysia untuk membantu dan menyalurkan sumbangan kepada yang memerlukan,.

Antara sumbangan terbesar projek A4M ialah melalui sumbangan 2 unit patient monitor dan 2 unit syringes pump bernilai RM 37,600 kepada Hospital Selayang. Penyampian sumbangan dibuat oleh Presiden ANSARA Malayisa, Dato Kamarul Redzuan Muhamed, Presiden MRA Dr Daud Sulaiman dan CEO A4M, En Azizee Aziz.

Selain itu, A4M turut menyumbang bekalan alatan medikal PPE, makanan basah dan stok makanan kering kepada para frontliners di hospital kerajaan, klinik-klinik kesihatan dan pusat-pusat operasi bergerak di kesemua 14 negeri seluruh Negara. Ini termasuklah bekalan kepada petugas di lapangan terbang, di pusat kuarantin dan pihak JKM yang bertugas.

A4M ditutup dengan projek sumbangan bersama bagi pembekalan Kiosk Covid-19 yang diusahakan dengan iDeria (UniMAP) yang berfungsi sebagai pusat saringan mudah alih di kawasan hotspot Covid-19. Lokasi tajaan pilihan A4M ialah di Hospital Sungai Buloh, dan majlis peyerahan akan dihadiri oleh wakil Ansara Malaysia bersama penaja-penaja korporat yang lain.

Setakat artikel ini ditulis, RM 193,000 telah berjaya dikutip dan diagihkan. Selain bekalan perubatan dan makanan, A4M turut menyokong usaha kumpulan-kumpulan kecil ANSARA seperti Ansara Foodtruck, cawangan-cawangan ANSARA dan beberapa NGO kecil kelolaan ahli-ahli ANSARA.


CAWANGAN-CAWANGAN ANSARA

Cawangan-Cawangan ANSARA juga mengambil langkah proaktif dalam mengumpul dana, mencari sukarelawan-sukarelawan ketika musim PKP.

Usaha daripada ANSARA Cawangan ini melibatkan sumbangan kepada frontliners, dan kepada kebajikan ahli-ahli Cawangan masing-masing serta komuniti lokal di daerah MRSM masing-masing. Kesemua usaha dan program Cawangan ini disokong sepenuhnya oleh A4M melalui bantuan kewangan dan juga hebahan media.


DI PERINGKAT IBU BAPA & GURU PULA

Muafakat MARA Malaysia (Badan Permuafakatan Pendidikan MARA Malaysia) juga turut melancarkan Tabung Bantuan Covid-19 dalam usaha membantu 2,000 orang pelajar, guru dan staf dari 52 buah MRSM, 3 Kolej MARA & 6 Kolej Profesional MARA yang memerlukan bantuan pendidikan atau kebajikan.


KEMPEN DERMA DARAH ANSARA

Untuk 12 tahun berturut-turut ANSARA Malaysia menganjurkan Kempen Derma Darah Pra-Ramadan seminggu sebelum bermulanya bulan Ramadan dengan kerjasama Pusat Darah Negara (penyumbang tenaga kerja) dan AEON (penyumbang lokasi) di AEON seluruh Malaysia. Namun begitu untuk tahun 2020 kempen ini terpaksa dibatalkan.

Pembatalan kempen ini sedikit sebanyak menjejaskan tabung darah di PDN dan Pusat Transfusi Darah di seluruh negara. Walaupun kempen derma darah ANSARA terpaksa dibatalkan, pihak ANSARA menyeru kepada penderma-penderma untuk hadir ke lokasi statik di PDN, AEON AU2, AEON Maluri, AEON Kepong dan AEON Rawang. Repot PDN menunjukkan kutipan darah untuk bulan Mac pada tahun ini berkurang sebanyak 40% berbanding tahun 2018 dan 2019.

Untuk yang berada di luar Lembah Klang, atau jauh dari lokasi statik boleh hubungi Pusat Transfusi Darah Hospital di kawasan masing-masing.

Ini adalah hasil pelaburan MARA dalam pembangunan modal insan yang menitikberat nilai, sahsiah serta akhlak dapat dilihat melalui warga kerja dan pelajarnya yang peka dalam menyahut situasi semasa yang mungkin terlepas pandang di mata masyarakat.

MARA akan terus cakna dengan keperluan negara dalam menangani pandemik Covid-19. MARA! teruskanlah melahirkan warga negara dan bakat kepimpinan masa hadapan yang mempunyai teras nilai yang utuh serta mempunyai peri pekerti yang mulia!!!!.

#stayathome #dudukdirumah #PKP #MCO #perintahkawalanpergerakan #movementcontrolorder #MARA